Ricky Lihan Rubin, wakil persatuan ‘God is Great’ (GiG) dari kampus Politeknik Mukah Sarawak (PMU) mengongsikan impak sesi Jambatan Anak Malaysia (JAM).
Apa mampu saya beribadah dengan selesa di gereja berlainan denominasi?
Salam kerajaan Allah! Syukur ke hadirat Tuhan buat penyertaan-Nya dalam kehidupan setiap peribadi . Selaku wakil G.i.G pada semester ini ,suatu sukacita buat saya untuk berkongsi pengalaman persekutuan Kristian di kampus PMU . Tanpa penyertaan Tuhan itu , pasti lebih sukar lagi buat pelajar-pelajar Kristian bersekutu di sini.
Visi G.i.G : Menyatupadukan pelajar-pelajar Kristian daripada mazhab-mazhab yang berbeza di bawah satu bumbung.
Sesuai dengan visi G.i.G itu sendiri, timbul dalam hati untuk melawat gereja-gereja dengan tujuan menjadi ejen kepada gereja-gereja bersatu dan beribadah tanpa memandang denominasi yang berbeza. Sedar bahawa semua itu hanya dapat tercapai bermula dengan menyatukan pelajar-pelajar di kampus melalui persekutuan yang diadakan. Yang terdiri daripada R.C., S.I.B., Methodist, S.D.A., Baptist dan gereja-gereja yang sedia ada.
Pada awalnya, ini merupakan visi secara peribadi .Namun, semasa saya berkongsi idea ini dengan rakan aktif G.i.G iaitu juga merupakan bekas pengerusi G.i.G, beliau juga berpendapat untuk membawa ajk-ajk G.i.G serta ahli G.i.G untuk terlibat sama melawat gereja-gereja yang ada di Mukah. Puji Tuhan! Visi ini disemarakkan lagi dengan dorongan daripada ahli-ahli G.i.G yang lain.
Bagaimana tercetus visi ini? Seringkali bermain di fikiran saya begini “ Bagaimana mungkin saya memimpin G.i.G untuk bersatu & beribadah dengan mazhab-mazhab yang berbeza jika saya masih dalam zon selesa di mana saya selalu beribadah setiap Ahad?” Kata kunci di sini ialah ZON SELESA beribadah. Bagi saya, tidak akan terjadi sama sekali KESATUAN ANTARA GEREJA kalau saya hanya selesa beribadah di mazhab yang sering saya hadiri. Walhal , ‘yang disembah’ itu peribadi yang sama. TUHAN yang sama. Hanya cara & aturacara ibadah yang berbeza pada setiap gereja. Ertinya, saya berani berkata masih ada perselisihan antara orang-orang Kristian kerana masih tidak dapat bersatu dengan mazhab yang berbeza (Baca 1 Korintus 3:1-9): Hal perselisihan.
Pertanyaan saya di sini, yang mungkin anda juga sedia tahu sebelum ini, “Yang menyelamatkan jiwamu nanti, gereja atau Tuhan Yesus?” Kalau gereja yang menyelamatkan, “Cepat-cepat kol saya yer. Saya nak pergi ke sana juga.” – Sindiran. Ternyata Tuhan Yesus itu sendirilah yang menyelamatkan kita. Andai anda hari ini masih memberi alasan “saya tidak dapat pergi ke gereja itu kerana saya sudah biasa di gereja ini”. Wah! Teman-teman yang sangat saya kasihi, ingat bahawa gereja hanya tempat kita berkumpul untuk persekutuan mahupun mendorong satu sama lain tetapi tetap Tuhan Yesus yang memberi pertumbuhan kepada iman kita! (Baca ayat 1 Korintus 3:6-8) .
Akhir kata, agar mesej yang disampaikan dapat menjadi dorongan dan tindakan kepada kita untuk menjadi ejen menyatupadukan pelajar Kristian di kampus anda dan orang-orang percaya di bawah satu bumbung.
Terima kasih. Tuhan menyertai!
Disediakan oleh ,
RICKY LIHAN RUBIN
(Timbalan Pengerusi Persatuan ‘God is Great’)

